BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS �

Wednesday, June 9, 2010

soal jawab : Fikah dalam perubatan (sumber:http://fiqhmedic.wordpress.com)

Mengeluarkan Darah Dari Orang Yang Berpuasa
Soalan 1 : Adakah mengambil sedikit darah di siang bulan Ramadhan untuk pemeriksaan perubatan atau derma darah membatalkan puasa ?
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;
Jika seseorang mengambil sedikit darah yang tidak menyebabkan tubuhnya lemah, maka hal itu tidak membatalkan puasanya. Darah boleh diambil samada untuk pemeriksaan kesihatan atau pemindahan darah kepada orang lain (blood transfusion) ataupun untuk didermakan kepada seseorang yang memerlukannya.
Tapi jika pengambilan darah itu dalam jumlah yang banyak yang menyebabkan lemah tubuh badan, maka hal itu membatalkan puasa. Hal ini diqiyaskan kepada berbekam yang telah ditetapkan oleh As-Sunnah bahawa hal itu membatalkan puasa. Berdasarkan hujah ini, seseorang yang tengah melaksanakan puasa wajib, seperti puasa Ramadhan, tidak boleh mendermakan darah dalam jumlah banyak, kecuali apabila terpaksa (darurat). Kerana dalam keadaan ini bererti dia telah batal puasanya sehingga dibolehkan makan dan minum pada baki hari tersebut. Kemudian dia mengqadha pada hari lain di luar bulan Ramadhan.

Guna Inhaler Semasa Puasa
Soalan 2: Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap athma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;
Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum.
Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ ataupun Qiyas yang Sahih.

Cuci Darah (Hemodialisis) Semasa Puasa
Soalan 3: Apa hukum mencuci darah (hemodialisis) bagi penderita sakit ginjal yang sedang berpuasa. Adakah dia harus qadha atau tidak ?
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;
Dia wajib mengqadha kerana adanya tambahan darah bersih, dan jika ditambahkan zat lain, maka itu juga sebab pembatalan puasa.

Komen Webmaster : Hemodialisis tidak membatalkan puasa selagi darah yang dicuci itu adalah darah sendiri (darah keluar masuk adalah darah yang sama dari pesakit). Namun jika berlaku pertambahan darah baru dari sumber lain dan dimasukkan zat tambahan, maka puasanya terbatal. WaLLAHu a’lam.

Suntikan Di Siang Hari Ramadhan
Soalan 4: Apakah suntikan perubatan di siang hari bulan Ramadhan mempengaruhi puasa?
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin:
Suntikan perubatan ada dua jenis. Pertama, suntikan (infusion), yang mana dengan suntikan ini boleh mencukupi keperluan makan dan minum. Maka suntikan ini termasuk perkara yang membatalkan.
Adapun jenis yang kedua adalah suntikan yang tidak mengandungi zat makanan dan minuman. Jadi suntikan jenis ini bukan bererti seperti makan dan minum. Maka hukum puasanya sah sampai ada dalil syar’i yang menetapkan bahawa hal itu membatalkannya.


p/s: sekadar perkongsian dari sedikit pembacaan.

0 comments: